Latihan Pemahaman




Baca berita di bawah dan jawab soalan-soalan berikut;


TELUK INTAN  , 15 April 2006 – Rumah Laksamana muncul sebagai juara bagi tiga tahun berturut-turut sempena Sukan Tahunan Sekolah Kebangsaan Perwira. Sukan kali ke-6 ini berlangsung dalam suasana yang gilang–gemilang, semalam.
   
      Buat julung kalinya, sukan ini diadakan di Stadium Mini Teluk Intan bersebelahan dengan Dewan Bandaraya Teluk Intan. Walau bagaimanapun, sesi latihan telah diadakan di padang sekolah bermula 2 April yang lalu .
   
      Sukan pada kali ini dirasmikan oleh Yang Berhormat Dato Onn bin Haji Hamzah selaku wakil rakyat di kawasan ini. Turut serta dalam temasya pada kali ini ialah para guru besar dari sekolah yang erdekatan serta ketua masyarakat setempat.
    
      Tuan Guru Besar dalam ucapan alu-aluannya mengharapkan sukan kali ini dapat memupuk semangat juang, semangat berpasukan serta semangat kerjasama dalam kalangan murid. Selain itu, beliau berharap agar dapat mencungkil bakat-bakat baru untuk diketengahkan dalam kejohanan peringkat kelompok, daerah maupun negeri .
     
       Sukan pada kali ini menampilkan kelainan dengan mengadakan pertandingan perbarisan serta rumah sukan tercantik. Sementara itu, acara olahraga berupa larian 100 meter, 200 meter serta acara padang seperti lompat tinggi dan lompat jauh turut mendominasi kejohanan .
        
         Temasya pada tahun ini banyak menampilkan bakat baru untuk diketengahkan. Antaranya, Muhaimin bin Hakimi yang memecahkan rekod Majlis Sukan Sekolah-Sekolah Daerah Hilir Perak dalam acara larian 100 meter dan 200 meter .

          Pada akhir temasya , Rumah Bendahara muncul naib johan diikuti Rumah Temenggung dan Rumah Bentara. Sementara itu Mohd Amirul bin Mohd Fauzi dan Noratailah binti Ariffin dari Rumah Laksamana telah terpilih sebagai olahragawan dan olahragawati sekolah tahun 2006. Mereka akan mewakili sekolah ke kejohanan peringkat daerah yang akan diadakan pada  20 Mei hadapan, juga di tempat yang sama.


  

1.
Peristiwa apakah yang diceritakan dalam teks tersebut ?


A.
Rumah Laksamana muncul juara
B.
Peristiwa yang gilang-gemilang
C.
Sukan Tahunan SK Perwira
D.
Rumah Bendahara muncul naib juara


2.
Bilakah peristiwa tersebut berlangsung ?


A.
2   April 2006
B.
14 April 2006
C.
15 April 2006
D.
20 Mei 2006


3.
Siapakah yang merasmikan temasya tersebut ?


A.
Guru Besar SK Perwira
B.
Yang dipertua Persatuan Ibu Bapa dan Guru
C.
Wakil rakyat
D.
Pegawai Pelajaran Daerah Hilir Perak


4.
Apakah harapan utama guru besar terhadap temasya tersebut ?


A.
Mewujudkan kelainan dalam pertandingan
B.
Mendapat sambutan yang menggalakkan
C.
Memupuk pelbagai nilai positif
D.
Mencungkil bakat-bakat baru


5.
Penyataan yang berikut benar tentang temasya tersebut , kecuali


A.
Rumah Laksamana merangkul beberapa anugerah utama
B.
Muhaimin memecahkan rekod daerah dalam acara pecut
C.
Rumah sukan dinamakan mengikut nama jawatan dalam istana
D.
Temasya ini diadakan di tempat yang sama seperti pada tahun lepas

 ---------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------


Baca berita dibawah dan kemudian jawab soalan-soaln berikut;

TAIPING, 14 Januari – Sekolah Kebangsaan Lubuk Simpangan telah mengadakan Hari Interaksi 2012. Hari Interaksi 2012 diadakan bertujuan untuk memberi peluang kepada para waris untuk bertemu dengan guru. Perjumpaan seumpama ini  bukan sahaja dapat mengeratkan hubungan malah mereka dapat berbincang tentang perkembangan pelajaran murid-murid.
Program ini mendapat sambutan yang sungguh menggalakkan daripada para waris. Ramai waris telah tiba sejak pukul 7.30 pagi. Sebelum waris bertemu dengan guru kelas anak mereka, suatu taklimat khas telah diadakan. Guru Besar telah menyampai ucapan dan taklimat berkenan Hari Interaksi 2012.
Kemudian, ibu bapa mula bergerak ke kelas anak mereka. Ibu bapa berbincang tentang perkembangan pelajaran anak mereka dan selepas itu, mereka menandatangani kad prestasi
pelajaran anak mereka.Rata-rata para waris berpuas hati dengan pelaksanaan Hari Intreraksi
2012.  Kebanyakan mereka berpendapat bahawa aktiviti tersebut dapat memberi peluang kepada waris untuk mengetahui perkembangan dan prestasi anak-anak mereka.
            Antara acara lain yang diadakan semasa Hari Interaksi 2012 adalah jualan buku cerita, buku rujukan, majalah dan novel. Terdapat juga beberapa gerai makanan dan minuman yang dikendalikan oleh persatuan dan kelab sekolah.
            Guru Besar Sekolah Kebangsaan Teluk Simpangan, Puan Noraini bt Harun gembira dengan kejayaan  Hari Interaksi 2012. Beliau berharap aktiviti seperti ini akan diadakan lagi pada masa akan datang.

1          Apakah tujuan utama Hari Interaksi 2012 diadakan?
            A         mengadakan jualan buku dengan harga murah.
            B         menggalakkan murid-murid meminati bidang keusahawanan
            C         mengadakan perjumpaan antara ibu bapa dengan guru-guru
            D         meraikan pencapaian murid-murid dalam bidang pelajaran
2          Perkataan “ taklimat “ dalam petikan sama erti dengan perkataan
            A         mesyuarat
            B         huraian
            C         penjelasan
            D         penerangan

3          Mengapakah ramai waris berpuas hati dengan penganjuran Hari Interaksi 2012 ?
            A         Berpeluang untuk beramah mesra dengan guru-guru
            B         Berpeluang memasuki dan  melawat kawasan sekolah
            C         Berpeluang berjumpa dan berbincang dengan guru-guru
            D         Berpeluang membeli buku-buku dengan harga murah

4          Apakah perkara yang dibincangkan oleh ibu bapa dengan guru kelas anak-anak mereka ?
            A         Kebaikan Hari Interaksi 2012
            B         Aktiviti-akativiti yang dijalankan di sekolah
            C         Perkembangan pelajaran anak-anak mereka
            D         Masalah disiplin anak-anak mereka   

5          Apakah harapan Guru Besar ?
            A         Hari Interaksi akan diadakan lagi pada tahun hadapan
            B         Ibu bapa memberi perhatian terhadap pelajaran anak-anak mereka
            C         Pelbagai aktiviti perlu dijalankan di sekolah
            D         Murid-murid berminat untuyk menjadi usahawan yang berjaya

--------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------

Baca catatan di bawah ini dengan teliti dan jawab soalan-soalan berikutnya.
15 April 2012
9.00 pagi
Aku tiba di perhentian bas Sabak  Bernam. Ketika itu, aku lihat orang ramai berpusu-pusu di kaunter jualan tiket. Aku segera berbaris kerana bimbang tiket bas kehabisan.  Setelah lama menunggu, akhirnya tiket bas berjaya kubeli. Aku lihat budak lelaki yang beratur di belakangku merungut-rungut apabila diberitahu bahawa tiket bas ke Kuala Lumpur sudah habis.  Aku menarik nafas lega. 
12.45 tengah hari
Bas ekspres yang kunaiki mula bertolak ke destinasi. Di dalam bas, aku duduk di sebelah lelaki berbangsa India. Kami bertegur sapa tetapi tidak banyak berbual. Aku cuba melelapkan mata tetapi tidak berjaya. Keadaan jalan yang agak buruk menyebabkan bas sering bergegar dan para penumpang terlambung-lambung. Kulihat di kiri kanan jalan, kerja-kerja pembinaan dan pembesaran jalan sedang giat dijalankan. 
3.15 petang
Bas yang kunaiki tiba di Perhentian Bas Klang, Kuala Lumpur. Ketika turun dari bas, mataku melilau mencari seseorang. Abdullah, sepupuku telah berjanji untuk menungguku di perhentian tersebut. Aku berasa risau apabila kelibat Abdullah langsung tidak kelihatan. Aku tidak tahu ke mana hendak dituju kerana inilah pertama kali aku menjejakkan kaki di Kuala Lumpur.
3.20 petang
Sedang aku duduk seorang diri, tiba-tiba bahuku ditepuk orang.  Lega sungguh hatiku apabila melihat Abdullah berada di depan mata. Tanpa banyak bertanya aku segera mengikut Abdullah ke keretanya.  
3.30 petang
Abdullah membawa keretanya menyusuri pusat bandar raya.  Seperti rusa masuk kampung, aku berasa terpegun dengan kepesatan pembangunan di kota metropolitan ini. Keunikan bangunan-bangunan pencakar langit seperti Menara Kuala Lumpur dan Menara Berkembar Petronas amat menarik perhatianku.  Kesibukan kota yang sarat dengan pelbagai aktiviti dan ragam manusia amat berbeza dengan apa yang pernah kualami. Pengalaman ini amat bermakna dan pastinya akan kuceritakan pada teman-teman di kampung.


1.
Mengapakah penulis berasa lega?
A
kerana mendapat tiket bas secara percuma
B
kerana tidak perlu bersusah payah untuk membeli tiket
C
kerana bernasib baik dapat membeli tiket yang terakhir 
D
kerana dapat menaiki bas ekspres yang canggih  




2.
Mengapakah penulis tidak dapat melelapkan matanya semasa di perjalanan?
A
Penulis asyik berbual dengan penumpang di sebelahnya.
B
Penulis leka melihat pemandangan di sepanjang perjalanan.
C
Penulis berasa tidak selesa disebabkan keadaan jalan yang tidak elok.
D
Penulis sudah tidak sabar-sabar untuk tiba di Kuala Lumpur.  




3.
Perjalanan dari Sabak Bernam ke Kuala Lumpur mengambil masa selama…
A
2 jam 15 minit
B
2 jam setengah
C
2 jam 45 minit
D
3 jam  




4.
Kata melilau dalam petikan tadi bermaksud…
A
merenung ke satu arah.
B
menjeling-jeling.
C
memandang ke sana ke mari.
D
tidak bergerak-gerak.  




5.
Yang berikut merupakan faktor-faktor yang menyebabkan sikap penulis seperti rusa masuk kampung kecuali…
A
baru pertama kali berkunjung ke Kuala Lumpur.
B
kagum akan kepesatan pembangunan di ibu kota.
C
tidak mempunyai kenalan di ibu kota.
D
pengalaman hidupnya di kampung amat berbeza dengan kehidupan di kota.
------------------------------------------------------------------------------------------------------------ 
Baca petikan di bawah dan jawab soalan-soalan berikut;


Aku  dan keluarga hidup sederhana. Kami tinggal di rumah kos rendah. Ayahku membeli sebuah kereta Proton Saga terpakai untuk kemudahan kami sekeluarga. Bayaran ansuran kereta setiap bulan menjejaskan kewangan bapaku. Dalam hati kecilku terpintas yang bapaku tentu tidak dapat menabung.

Oleh sebab teringat pesanan guru tentang amalan menabung ini, aku mula menyimpan wang sedikit demi sedikit di dalam tabungku. Aku simpan lebihan wang saku yang diberikan oleh ayahku pada setiap hari. Selepas setahun aku mula membuka akaun di bank. Akan aku buktikan peribahasa sedikit-sedikit,lama-lama jadi bukit.

Aku membawa bekal ke sekolah setiap hari untuk menjimatkan perbelanjaan harianku. Selain itu, aku juga menyimpan duit raya yang aku peroleh setiap tahun. Wang simpananku meningkat dari semasa ke semasa. Malang tidak berbau,adik perempuan kesayanganku dilanggar sebuah motosikal. Kakinya cedera dan patah.

Doktor memberitahu kami yang adikku perlu menjalani pembedahan. Kos pembedahan dianggarkan lima ribu ringgit. Keluargaku bagai jatuh ditimpa tangga kerana ayah dan ibu tiada simpanan di bank. Ayah tidak berjaya memohon pinjaman daripada bank kerana telahpun membuat pinjaman membeli kereta terpakai. Ibu menggadaikan barang kemas kesayangannya.Wang gadaian cuma lima ribu ringgit sahaja.

Dalam kebuntuan, aku teringatkan buku akaun bankku. Aku segera ke bank mengeluarkan wang sebanyak tiga ribu ringgit.Aku kemudiannya menyerahkan wang itu kepada bapaku. Bapaku memelukku dengan linangan air mata. Aku bersyukur kerana telah menyediakan payung sebelum hujan. Adikku telah selamat menjalani pembedahan.Sejak kejadian itu ayahku mula menyimpan lima peratus daripada gajinya ke dalam bank.


1          Siapakah yang paling banyak berkorban untuk menyelamatkan kecederaan adik?
            A     Aku
            B      Ibu
            C      Bapa
            D     Adik perempuan


2          Apakah yang menyebabkan kewangan bapa terjejas ?
            A    Membiayai kos pembedahan
            B    Aku menabung setiap hari
            C    Membeli kereta terpakai
            D    Memiliki rumah kos rendah


3          Mengapakah bapa berkemungkinan tidak menabung??
            A     Aku sudah menabung sendiri
            B     Bapa sudah ada simpanan  duit raya
            C     Anaknya perlu menjalani pembedahan
            D     Bapa terpaksa membayar ansuran kereta



4          Bagaimanakah anak perempuannya selamat menjalani pembedahan?
            A     Mereka menemui doktor pakar
            B     Memperoleh wang daripada tabung bapa
            C     Ibu menggadai barang kemasnya
            D     Kos pembedahan ditanggung oleh aku dan ibu.

5          Bersedia sebelum ditimpa kesusahan adalah maksud peribahasa ...
            A     Sedikit-sedikit lama-lama jadi bukit
            B     Sediakan payung sebelum hujan
            C     Bagai jatuh ditimpa tangga
            D      Malang tidak berbau


----------------------------------------------------------------------------------------------------------
Baca dan fahami dialog di bawah,  kemudian jawab soalan-soalan yang berikutnya.



 Milah             : Selamat petang, Mei Ling. Lama betul kita tak jumpa. Apa 
                        Khabar?

Mei Ling         : Khabar baik, Milah. Ke mana awak menghilang selama ini?

Milah              : Oh, janganlah berkata begitu! Saya pulang ke kampung datuk 
                        saya di Perak.

Mei Ling         : Patutlah saya tidak nampak awak. Seronokkah awak bercuti di
                        sana?

Milah              : Seronok. Nenek kirim salam pada awak. Saya banyak bercerita 
                        tentang awak kepadanya. Oh, ya Mei Ling! Terlupa pula saya ! Ini 
                        ialah buah tangan saya untuk awak.

Mei Ling         : Wah,  cantiknya beg mengkuang ini! Milah. Tentu mahal 
                        harganya,

Milah              : Tidaklah mahal. Nenek saya yang menganyamnya. Mei Ling,  
                        awak tidak ke mana-mana pada cuti sekolah yang lalu?

Mei Ling         : Saya tidak ke mana-mana kerana emak saya baru bersalin?

Milah              : Wah, seronoknya ! Nanti saya ingin menziarahi ibu dan adik baru
                          awak.

Mei Ling         : Baiklah. Kita jumpa selepas waktu sekolah nanti.






1
Ke manakah Milah pergi semasa cuti sekolah?

A
Rumah Milah

B
Rumah datuk

C
Rumah tumpangan

D
Rumah peranginan



2
Apakah kemahiran nenek Milah?

A
Menangkap ikan

B
Menganyam beg

C
Melukis gambar

D
Memasak



3
Mengapakah Mei Ling tidak ke mana-mana pada cuti sekolah yang lalu?

A
Ibunya baru melahirkan adiknya

B
Bapa tidak mahu bercuti

C
Mei Ling terpaksa menjaga adik



4
Semua pernyataan di bawah adalah benar tentang petikan, kecuali

A
Milah dan Mei Ling bersahabat baik

B
Nenek Milah mahir menganyam beg

C
Mei Ling mendapat adik baru

D
Ibu Mei Ling pandai memasak



5
Maksud perkataan menziarahi dalam petikan ialah

A
mempersilakan

B
melihat

C
melawat

D
mengintai
 ---------------------------------------------------------------------------------------------------------

Soalan 1 hingga soalan 5
Baca petikan di bawah , kemudian jawab soalan –soalan berikutnya.


Kisah yang menakjubkan ini berlaku pada tahun 1861. Seorang penggemar rama-rama berbangsa Perancis, iaitu Henri Monhot sering menangkap rama-rama di dalam hutan di Kemboja. Semasa menangkap rama-rama, dia terjumpa sebuah bandar di dalam hutan itu.
            Kawasan yang ditemukan olehnya itu menjadi tumpuan para pengkaji dan pengembara. Akhirnya barulah diketahui seluruh dunia, bahawa bandar hutan itu ialah “Angkor Wat”.
            Angkor Wat merupakan ibu negara bagi orang-orang Khmer pada abad  ke 9. Bagaimanapun, empayar tersebut  hanya dapat bertahan sehingga abad ke -14 sahaja.
            Angkor Wat merupakan binaan candi yang terbesar di dunia. Binaan ini mempunyai lima menara. Menara yang tertinggi lebih kurang sepuluh meter ketinggiannya. Yang lainnya berupa seperti rumah yang mempunyai tangga yang cantik, gelanggang, patung-patung berhala dan dewan.
            Keluasan binaan ini adalah lebih kurang empat puluh batu persegi dan terletak di tengah-tengah hutan. Di dalam candi yang terbesar terdapat dewa, dewi, raja, ular senduk dan penari-penari yang diukir dalam pelbagai bentuk dan aksi.
            Berhampiran candi itu terdapat banyak perpustakaan, tempat mandian dan pintu-pintu gerbang. Selain itu, terdapat lantai-lantai marmaryang cantik. Berhala-berhalanya pula diperbuat daripada tembaga dan di sekeliling Angkor Wat itu terdapat banyak candi yang kecil.
            Bagaimanapun suatu persoalan yang timbul di kawasan Raja Khemer  ini memerintah pada masa dahulu ialah bagaimana rakyatnya membina candi yang besar dan indah ini sedangkan peralatan-peralatan moden dan mesin tiada pada masa itu.

 1.         Mengapakah Henri Monhot menangkap rama-rama di dalam hutan di Kemboja?
            A         Kerana dia mencari rama-rama yang lain daripada yang lain.
            B          Kerana dia ingin mencari sebuah bandar  di dalam hutan itu.
            C          Kerana sebagai alasan untuk menemukan Angkor Wat.
            D         Kerana mencari rama-rama adalah kegemarannya.

2                   Apakah yang menjadi tanda tanya kepada para pengkaji tentang Angkor Wat itu?
            A         Mengapakah Angkor Wat itu dibina?
            B          Bagaimana Angkor Wat itu dibina?
            C          Bila Angkor Wat itu dibina?
            D         Siapakah yang membina Angkor Wat itu?

 3         Semua kenyataan yang berikut adalah benar tentang Angkor Wat kecuali
           A         seluruh kawasan empat puluh batu itu diliputi oleh batu marmar yang cantik.
           B          kebanyakan kawasan Angkor Wat terdapat perpustakaan.
           C          Angkor Wat dibina semasa pemerintahan Raja Khmer antara abad ke-9 hingga  ke-14.
           D         patung-patung berhala itu terdiri daripada pelbagai bentuk dan aksi.

 4.       Apakah keistimewaan Angkor Wat?
            A         Angkor Wat merupakan bangunan yang paling lama dibina di dunia.
B          Angkor Wat merupakan binaan candi yang terbesar di dunia.
C          Angkor Wat merupakan binaan candi yang dibina di tengah-tengah hutan.
D         Angkor Wat merupakan binaan yang tercantik di dunia.

   5.     Candi membawa maksud
            A         muzium tempat menyimpan barang-barang lama.
            B          istana lama tempat raja-raja tinggal
            C          bangunan purba yang dibuat daripada batu
            D         makam raja-raja pada masa dahulu.




Tiada ulasan:

Catat Ulasan